Notis Privasi
Dikemas kini 12 November 2026
Indahnya (indahnya.my) dikendalikan oleh FF Dev Studio, Malaysia — pengguna data di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (butiran syarikat di bawah). Notis ni terangkan data apa yang kami kumpul, kenapa, siapa boleh tengok, berapa lama kami simpan, dan hak korang.
Dikendalikan oleh: FF DEV STUDIO (202603234793), No 15982 B, Kampung Selamat, Sungai Tong, 21500 Setiu, Terengganu, Malaysia
Data yang kami kumpul
- Tuan majlis: alamat email (wajib, untuk log masuk), nama (kalau log masuk dengan Google), dan butiran majlis yang korang isi — nama, tarikh, tempat.
- Kad jemputan: apa yang tuan majlis letak dalam kad — nama pengantin dan ibu bapa, aturcara, nombor telefon untuk dihubungi, gambar, lagu, dan untuk salam kaut, nombor akaun bank atau QR DuitNow. Semua ni boleh dilihat oleh sesiapa yang ada link majlis, jadi letak hanya apa yang korang setuju untuk kongsi.
- Tetamu — gambar dan video: fail yang diupload, nama yang tetamu pilih untuk isi, dan reaksi pada gambar.
- Tetamu — RSVP: nama, hadir atau tak, bilangan orang, pihak, pilihan makanan, nota, dan nombor telefon (pilihan sendiri). Tuan majlis juga boleh masukkan RSVP yang diterima melalui telefon.
- Tetamu — ucapan: ucapan bertulis, dan ucapan suara (rakaman suara tetamu sampai 60 saat).
- Tetamu tak perlu akaun atau email. Semua maklumat tetamu adalah pilihan — tak isi pun boleh tengok galeri dan upload gambar.
- Bayaran: status bayaran, jumlah dan cara bayar (contohnya FPX atau kad). Butiran kad, akaun bank dan e-wallet diproses terus oleh CHIP — kami tak nampak dan tak simpan.
- Teknikal: alamat IP (untuk keselamatan dan had cubaan), dan cookie yang perlu untuk sistem jalan — satu untuk log masuk tuan majlis, satu untuk kenal browser tetamu supaya "Gambar saya", RSVP dan padam gambar sendiri boleh berfungsi. Tak ada cookie iklan atau tracking pihak ketiga.
- Statistik lawatan: bila korang buka halaman awam Indahnya (bukan halaman majlis), kami set satu cookie pihak pertama, indahnya_ft, yang simpan halaman pertama korang buka, laman yang hantar korang ke sini dan masanya, selama 180 hari. Ia hanya disalin ke akaun kalau korang daftar, supaya kami tahu dari mana pengguna datang. Halaman awam juga hantar satu permintaan kecil ke server kami sendiri supaya lawatan orang boleh dibezakan dari bot. Log server simpan IP, browser dan halaman selama 14 hari. Dalam pangkalan data, lawatan orang disimpan sebagai kod sehala yang bertukar setiap hari, dan IP penuh hanya untuk trafik automatik (bot), selama 120 hari. Cloudflare, yang hantar laman ni, juga kira lawatan untuk kami tanpa cookie. Data ni tak dijual dan tak dikongsi untuk iklan.
Maklumat dalam gambar dan video
Gambar dan video dari phone selalunya ada metadata, termasuk kadang-kadang lokasi GPS tempat gambar tu diambil. Salinan yang dipaparkan dalam galeri, atas TV dan dalam kad dah dibuang semua metadata ni. Fail asal disimpan secara tertutup, dan hanya tuan majlis boleh download fail asal (contohnya dalam zip) — fail asal tu masih ada metadata asalnya.
Kenapa kami guna data ni
- Untuk jalankan galeri, slideshow, kad jemputan, RSVP, susunan tempat duduk dan ucapan untuk majlis korang.
- Untuk hantar link log masuk dan email penting — contohnya amaran sebelum gambar dipadam.
- Untuk proses bayaran dan simpan rekod transaksi.
- Untuk keselamatan: halang spam, penyalahgunaan dan cubaan log masuk berulang.
Kami tak jual data, tak guna gambar majlis untuk iklan, dan tak kongsi dengan pihak lain selain yang disenaraikan di bawah.
Siapa boleh tengok
- Sesiapa yang ada link majlis boleh tengok kad, galeri dan ucapan yang dipaparkan. Link ni tak disenaraikan dalam Google atau enjin carian lain — tapi sesiapa yang dapat link boleh buka, jadi kongsi dengan orang yang korang percaya.
- Cari tempat duduk: kalau tuan majlis buka ciri ni, sesiapa yang ada link boleh taip sekurang-kurangnya 3 huruf nama dan nampak nama tetamu yang sepadan, bilangan orang dan nombor meja (paling banyak 5 nama sekali cari). Maklumat RSVP lain tak dipaparkan kepada tetamu.
- Gambar dan ucapan suara yang disembunyikan oleh tuan majlis, atau yang menunggu kelulusan, dipindahkan keluar dari akses awam. Link lama ke fail tu berhenti berfungsi (salinan cache dalam browser atau rangkaian mungkin kekal sehingga satu jam).
- Tuan majlis nampak semua gambar, RSVP (termasuk nombor telefon) dan ucapan majlis mereka, termasuk nama tetamu.
- Pembekal yang bantu kami jalankan Indahnya: Cloudflare (simpanan dan penghantaran gambar), penyedia server kami, CHIP (bayaran), penyedia email, dan Google (kalau korang pilih log masuk dengan Google). Mereka proses data hanya untuk tujuan tu.
Pemindahan ke luar Malaysia
Sesetengah pembekal di atas simpan atau proses data di luar Malaysia — contohnya pusat data Cloudflare di rantau Asia Pasifik, dan Google di Amerika Syarikat dan Eropah. Kami pilih pembekal yang ada kontrak dan polisi jaga data, paling kurang sama macam yang undang-undang Malaysia minta.
Berapa lama kami simpan
- Gambar, video dan ucapan disimpan ikut pakej: Percuma 30 hari selepas majlis, Indahnya 1 tahun, Indahnya Lengkap 2 tahun. Kami email tuan majlis 14 hari sebelum tamat, pada hari ia tamat, dan sekali lagi sekurang-kurangnya 7 hari sebelum dipadam.
- Selepas tempoh simpanan tamat, ada sekurang-kurangnya 30 hari lagi untuk download atau lanjutkan. Lepas tu semua gambar, video dan ucapan dipadam terus, bersama data tetamu (RSVP, nombor telefon, susunan meja) dan butiran peribadi dalam kad (nama ibu bapa, nombor telefon, akaun bank). Yang tinggal hanya tajuk dan tarikh majlis dalam senarai tuan majlis.
- Kalau tuan majlis padam majlis, majlis tu terus hilang dari link tetamu, dan lepas 7 hari semua isinya dipadam terus (sebelum tu tuan majlis boleh pulihkan).
- Tuan majlis boleh padam akaun bila-bila masa dari dashboard: semua majlis milik akaun tu dipadam terus serta-merta, dan email serta nama dibuang dari rekod kami.
- Tetamu boleh padam gambar dan ucapan sendiri dalam tempoh yang tuan majlis benarkan (biasanya 24 jam).
- Link log masuk tamat dalam 15 minit. Sesi log masuk tamat selepas 90 hari.
- Rekod bayaran disimpan selama yang diperlukan oleh undang-undang cukai dan perakaunan (biasanya 7 tahun), tanpa gambar atau data tetamu.
Hak korang
Korang boleh minta tengok data peribadi korang, minta salinan data tu (dalam fail biasa), minta ia dibetulkan, minta kami hadkan guna data tu, tarik balik persetujuan, atau minta ia dipadam. Tuan majlis boleh buat kebanyakan ni sendiri dari dashboard. Tetamu yang nak gambar, ucapan atau RSVP diturunkan boleh minta tuan majlis, atau hubungi kami terus dengan link majlis dan butiran yang terlibat. Kami balas dalam 21 hari.
Keselamatan
Semua sambungan guna HTTPS. Fail asal dan fail tersembunyi disimpan dalam simpanan tertutup, bukan awam. Akses tuan majlis guna link sekali guna, bukan password yang boleh dicuri, dan token log masuk disimpan dalam bentuk yang tak boleh diguna semula kalau bocor. Tiada sistem yang 100% selamat, tapi kami ambil langkah yang munasabah untuk lindungi data korang. Kalau berlaku kebocoran data yang boleh menjejaskan korang, kami maklumkan korang dan Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi, macam yang undang-undang minta.
Kanak-kanak
Majlis selalunya ada budak-budak dalam gambar. Tuan majlis bertanggungjawab siapa yang dapat link galeri, dan boleh sembunyi atau padam mana-mana gambar bila-bila masa.
Perubahan
Kalau kami ubah notis ni dengan ketara, kami kemas kini tarikh di atas dan maklumkan tuan majlis melalui email.
Hubungi kami
Email hello@indahnya.my atau WhatsApp +60 13‑907 8719. Pertanyaan tentang data peribadi, termasuk kepada pegawai perlindungan data kami, boleh dihantar ke alamat yang sama. Jika ada percanggahan antara versi BM dan English, versi BM terpakai.